GAZA KINI SEMAKIN KECIL, 65 % LAGI WILAYAH DIJAJAH

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
19 November, 2026

Ke mana lagi rakyat Gaza harus pergi apabila sebahagian besar tanah mereka sendiri semakin sukar untuk didiami?

Semenanjung Gaza yang berkeluasan cuma 365 kilometer persegi dan menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 2.1 juta rakyat Palestin kini semakin kecil saiznya apabila rejim Zionis Israel laknatullah menjajah hingga 65 % lagi daripada wilayah Gaza.

Berdasarkan peta "Access and Movement in the Gaza Strip–November 2026" yang diterbitkan oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), kira-kira 65% kawasan Gaza berada dalam zon kehadiran tentera Israel, berdasarkan garis kawalan yang ditetapkan dalam perjanjian 10 Oktober 2025.

Dalam masa yang sama, dianggarkan 1.43 juta rakyat Palestin atau 68% daripada keseluruhan penduduk Gaza kini terpaksa meneruskan kehidupan di khemah-khemah perlindungan.

Bayangkan, hampir tujuh daripada setiap sepuluh penduduk Gaza tidak lagi mempunyai kediaman yang sempurna untuk berlindung.

Lebih membimbangkan, pergerakan bantuan kemanusiaan di kawasan tertentu memerlukan penyelarasan dengan pihak berkuasa Israel. Beberapa pintu sempadan seperti Erez, Kissufim dan Gate 96 turut ditandakan sebagai ditutup, manakala akses melalui lintasan tertentu di Rafah dan Kerem Shalom hanya dibenarkan secara terhad.

Keadaan ini menyukarkan usaha menghantar makanan, air bersih, ubat-ubatan dan keperluan perlindungan kepada penduduk yang amat memerlukannya.

Gaza bukan sahaja berdepan krisis kehilangan tempat tinggal, tetapi juga krisis akses untuk meneruskan kehidupan.

Di sebalik angka 2.1 juta manusia itu, terdapat keluarga yang kehilangan rumah, anak-anak yang membesar dalam khemah, warga emas yang memerlukan rawatan dan ibu bapa yang terus berjuang memastikan keluarga mereka mampu bertahan.

Bagi kita, peta ini mungkin sekadar menunjukkan sempadan, laluan dan kawasan kawalan ketenteraan.

Namun bagi rakyat Gaza, setiap garisan pada peta itu menggambarkan betapa terbatasnya ruang untuk mereka bergerak, mendapatkan bantuan dan menjalani kehidupan dengan selamat.

Krisis kemanusiaan di Gaza bukan sekadar soal kekurangan bantuan, tetapi turut melibatkan cabaran besar untuk memastikan bantuan tersebut benar-benar dapat sampai kepada mereka yang memerlukan.

Justeru, usaha kemanusiaan tidak boleh terhenti. Kepedulian masyarakat dunia mesti terus digerakkan bagi memastikan rakyat Palestin tidak dibiarkan bersendirian menghadapi penderitaan ini.

MEREKA BUKAN SEKADAR ANGKA. MEREKA ADALAH MANUSIA YANG BERHAK UNTUK HIDUP DENGAN AMAN DAN BERMARUAH.

Semoga Allah SWT terus melindungi saudara-saudara kita di Gaza, mempermudah urusan bantuan kemanusiaan dan mengurniakan keamanan yang sekian lama mereka nantikan.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia