FGV DAN MCM JADIKAN IMPIAN JANI MILIKI RUMAH SENDIRI SATU KENYATAAN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
2 December, 2024

Kini, 11 anak dan 4 cucu pasangan Jani Marsun, 62 dan Juliah Adoi, 49, tidak tidur berhimpit-himpit lagi.

“Terima kasih kepada FGV Holdings dan Muslim Care Malaysia (MCM) kerana menjadikan impian saya memiliki rumah sendiri satu kenyataan."

Demikian kata Jani di majlis penyerahan rasmi rumahnya di Kampung Dumpiring Bawah, Kundasang, Sabah pada 26 November 2024.

Majlis ringkas penyerahan rumah tiga bilik berharga RM120,000 itu kepada Jani disempurnakan Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar. Hadir sama, Exco MCM Tuan Asri Tuan Hussein.

Sebelum ini, 10 tahun lamanya keluarga besar Jani tinggal menyewa di sebuah rumah berukuran cumq 500 kaki persegi di Kampung Kundasang Lama.

Prihatin dengan nasib keluarga itu, MCM di bawah program ‘Home2Live’ bekerjasama dengan FGV yang menyumbang dana untuk membina sebuah rumah lebih selesa untuk mereka.

Ada cerita menarik mengenai Jani bersama enam anak perempuan dan lima anak lelakinya yang berusia 12 hingga 31 tahun dengan tujuh daripada mereka masih belajar.

Sebelum ini mereka menganut fahaman animisme namun memeluk Islam berperingkat-peringkat, bermula dengan anak perempuan sulung pada 2015 dan tiga adiknya sehingga 2018.

Akhirnya, Jani dan Juliah turut memeluk Islam pada Disember 2022 bersama-sama semua anak yang lain.

Apa yang membanggakan, tiga anak mereka kini melanjutkan pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kelantan.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia