ENAM HARI PENGGAMBARAN DOKUMENTARI MADRASAH TERAPUNG

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
24 May, 2023
Khidmat jurukamera bawah air dan drone turut digunakan untuk memastikan dokumentari televisyen mengenai Madrasah Terapung Muslim Care Malaysia (MCM) berkualiti tinggi, berinformasi dan memberi kepuasan kepada penonton.
Penggambaran selama enam hari dari 10 hingga 15 Mei dibuat di lokasi Madrasah Terapung beroperasi sejak lebih setahun lalu iaitu sekitar perairan Pulau Mabul, Semporna, Sabah.
Dokumentari selama 45 minit itu diterbitkan Fast Motion Production untuk siaran di saluran Astro Oasis pada Julai depan.
Madrasah Terapung ialah satu inisiatif MCM bersama NGO Nation One untuk memberikan pendidikan fardu ain kepada anak-anak bajau laut yang tidak memiliki kewarganegaraan di sekitar Pulau Mabul bagi memastikan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam.
Seramai 15 kanak-kanak dari komuniti Bajau Laut atau Palauh itu mengikuti kelas dari jam 8 hingga 11 pagi pada setiap Jumaat hingga Ahad yang dikendalikan guru bertauliah termasuk penuntut serta pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau.
 
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia