DUTA SAMBUT BAIK PENUBUHAN MUSLIM CARE BRAZIL DAN PROJEK MASJID DI IMBITUBA (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
1 April, 2024

Inisiatif Muslim Care Malaysia (MCM) meluaskan sayap ke Brazil melalui penubuhan Muslim Care Brazil (MCB) disambut positif oleh Duta Besar Malaysia ke Brazil, Tuan Yang Terutama (TYT) Gloria Corina Tiwet.

Beliau turut teruja apabila dimaklumkan MCM kini dalam proses untuk membuka sebuah masjid di Imbituba, Santa Caterina, Brazil untuk kegunaan komuniti Islam di situ.

Perkembangan terkini dan maklumat mengenai MCM dimaklumkan kepada Gloria ketika kunjungan hormat delegasi MCM ke pejabat beliau di Brasilia pada 25 Mac 2024.

Delegasi membabitkan empat orang itu diketuai Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan; Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengerusi MCB, Hussein Abu Marzouq.

Turut serta, Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis (IEIJS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Aminuraasyid Yatiban yang membuat kajian akademik mengenai penghijrahan penduduk Palestin ke Brazil.

Gloria berkata, MCM adalah pertubuhan bukan kerajaan NGO pertama dari Malaysia yang pertama berkunjung ke pejabatnya sejak beliau dilantik Duta Besar, setahun lalu.

Beliau berharap MCM dan MCB dapat mempelajari sesuatu yang positif mengenai keharmonian masyarakat majmuk di Brazil yang disifatkannya amat unik.

“Malaysia juga negara yang bermasyarakat majmuk. Jadi, banyak perkara yang boleh kita contohi daripada Brazil di mana mereka amat bertoleransi serta saling hormat menghormati,” katanya.

Sementara itu, Haji Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada Gloria dan Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Brazil, Muhamad Muhaimin Azmi atas kesediaan menerima delegasi MCM dan sambutan baik yang diberikan.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia