DUKA KAMPUNG GOK KAPUR DIKONGSI BERSAMA
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 June, 2026
Musibah kebakaran besar yang melanda Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu nyata meninggalkan kesan mendalam apabila sebanyak 27 buah rumah dilaporkan musnah dalam kejadian yang menyayat hati itu. Prihatin dengan nasib mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda, pasukan Muslim Care Malaysia Society (MCM) segera bergerak ke Kelantan bagi melaksanakan misi bantuan kecemasan.
Usai menghadiri program Ceramah Palestin di Masjid Umar Al-Khattab, Taman Kobena, Pasir Puteh, delegasi MCM terus bergerak ke Kampung Gok Kapur pada lewat malam bagi meninjau sendiri keadaan mangsa kebakaran serta menyampaikan bantuan awal kepada keluarga yang terjejas.
Setibanya di lokasi selepas waktu Isyak, delegasi MCM terus menziarahi kawasan kejadian bersama wakil penduduk bagi melihat sendiri tahap kemusnahan serta menyantuni keluarga yang terkesan akibat tragedi tersebut.
Misi ziarah prihatin ini diketuai oleh Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan, Timbalan Presiden MCM, Tuan Haji Mohd Johari Ismail, serta Ahli Lembaga Pengarah MCM, Tuan Haji Arman Mustafa. Kehadiran barisan pimpinan MCM adalah sebagai tanda solidariti dan sokongan moral buat mangsa yang sedang melalui saat sukar dan penuh ujian.
Bagi membantu meringankan beban para mangsa, MCM turut menyerahkan bantuan kecemasan kepada 27 keluarga yang terjejas sepenuhnya. Penyerahan bantuan yang berlangsung di Masjid Al-Ihsan, Kampung Gok Kapur itu merangkumi pek makanan sedia dimakan (ready-to-eat), bekalan beras serta sumbangan tunai bagi membantu keperluan segera mangsa.
Pihak MCM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin, mendoakan serta menyokong usaha bantuan kemanusiaan buat mangsa-mangsa yang ditimpa musibah. Keprihatinan dan solidariti rakyat Malaysia amat besar maknanya dalam membantu meringankan penderitaan mereka yang sedang diuji.
Semoga sedikit bantuan dan keprihatinan ini mampu memberi kekuatan serta harapan baharu buat seluruh warga Kampung Gok Kapur untuk terus tabah dan bangkit membina semula kehidupan mereka.