DUA NIKMAT BESAR DALAM SATU HARI
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
10 May, 2026
Makanan dan kesihatan dua nikmat Allah SWT yang amat berharga untuk manusia, dan penduduk sekitar Kampung Jor Kaeng, Wilayah Kampung Cham, Kemboja amat beruntung apabila mendapat dua nikmat itu serentak dalam satu hari.
Ia melalui program Misi Dakwah dan Kebajikan Muslim Care Malaysia (MCM) dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang berlangsung di Kompleks Pendidikan MCM, Al-Farabi di kampung itu pada 1 Mei 2026.
Program bermula di sebelah pagi dengan penyerahan pek makanan mengandungi pelbagai makanan keperluan harian dan wakaf al-Quran untuk 150 keluarga, membabitkan lebih 500 orang.
Sesi penyerahan diketuai oleh Bendahari Agung MCM, Ustaz Ahmad Shukri Ismail dan Dr Aspalilah Alias mewakili PAPISMA. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah MCM Haji Arman Mustafa, Zuriati Yaacob dan Nur Suryana Mohd Sutarzi selaku Pengarah Program.
Pada tengah hari dan petang pula, pengamal perubatan PAPISMA diketuai Dr Aspalilah yang juga pakar pergigian bersama rakan-rakannya termasuk Dr Halwani, seorang pakar jantung, mengadakan sesi pemeriksaan percuma kepada penduduk setempat.
Turut diadakan ialah demonstrasi penjagaan gigi dan pemberian ubat percuma kepada penduduk yang menjalani pemeriksaan kesihatan
Kanak-kanak lebih gembira kerana ada aktiviti khusus untuk mereka iaitu sukaneka yang diakhiri dengan pemberian hadiah kepada pemenang, selain menerima pek makanan ringan percuma.