DUA KALI GEMPA, MEREKA MASIH BERTAHAN (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
14 September, 2026
15 Ogos 2026, Flores digegarkan dengan gempa bumi. Bukan sekali, tetapi dua kali dalam tempoh dua minggu.
Di sebalik gegaran itu, ada keluarga yang kehilangan rasa selamat. Ada yang masih takut untuk kembali tidur di dalam rumah dan ada yang hanya mampu bertahan dengan apa yang ada.
Pada 10 September 2026, pasukan Muslim Care Malaysia bersama Ikhlas Care meneruskan perjalanan ke Kg Baru, Flores, Indonesia untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa gempa.
Bantuan sembako dan tikar dibawa meredah perjalanan yang bukan mudah. Sampai sahaja di kampung, kami melihat sendiri kehidupan mereka yang tinggal di rumah-rumah berhampiran laut.
Antara yang hadir menyampaikan amanah ini ialah Mohd Johari Ismail, Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Haji Arman Mustafa, ALP Muslim Care Malaysia serta Ustaz Fadzli daripada Ikhlas Care.
Mungkin bagi kita, sebungkus sembako dan sehelai tikar kelihatan sederhana.
Tetapi di saat mereka sedang melalui hari-hari sukar selepas bencana, bantuan kecil ini sedikit sebanyak mampu meringankan keperluan mereka.
Kami datang membawa amanah daripada para penyumbang, dan pulang membawa cerita tentang ketabahan mereka.
Semoga Allah menerima setiap sumbangan dan membalas segala kebaikan mereka yang terus membantu saudara-saudara kita yang sedang diuji.