DISKUSI & SOLIDARITI AKTIVIS KEMANUSIAAN UNTUK AID4IRAN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 June, 2026

Alhamdulillah, pada 10 Jun 2026 Muslim Care Malaysia yang diwakili oleh Tuan Haji Zulkifli Wahijan telah meluangkan masa hadir ke program "Diskusi & Minum Kopi Bersama Influencer dan Aktivis Kemanusiaan" yang berlangsung di ATSKY Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kehadiran beliau ini adalah sebagai tanda sokongan padu dan komitmen berterusan Muslim Care Malaysia terhadap usaha-usaha murni di bawah inisiatif Aid4Iran.

Sambil menikmati kopi dalam suasana yang cukup santai, program ini menjadi medan penting untuk menghimpunkan para pempengaruh, penggerak NGO, dan aktivis kemanusiaan bagi berkongsi pandangan serta mengukuhkan jaringan solidariti demi membantu rakyat Iran yang sedang berdepan ujian.

Suasana perbincangan menjadi semakin bermakna menerusi sesi perkongsian utama oleh Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff. Beliau mengupas secara terperinci mengenai latar belakang krisis, cabaran sebenar yang menimpa rakyat Iran, serta bentuk bantuan kemanusiaan yang amat mendesak ketika ini. Input berharga daripada beliau membuka ruang yang luas untuk para peserta memahami isu tersebut dengan lebih mendalam dari pelbagai perspektif.

Sesi malam tadi juga bertambah menarik dengan kehadiran barisan aktivis kemanusiaan daripada misi Sumud Flotilla. Kehadiran figura seperti PU Rahmat, Saudara Nor Helmi Abd. Ghani, bersama beberapa orang kapten serta mekanik Kapal Sumud yang terlibat secara langsung di lapangan memberi peluang keemasan kepada hadirin untuk mendengar sendiri pengalaman sebenar dan cabaran getir dalam membawa mesej solidariti ke peringkat antarabangsa.

Pertemuan ini juga memperlihatkan kebersamaan yang utuh apabila Muslim Care Malaysia duduk semeja bersama rakan-rakan NGO lain seperti Ikhlas Care, Yayasan Amal, Rescue Ummah, Cinta Gaza Malaysia, Cinta Syria Malaysia, Mawadah, Rahmat Care, dan Syabab Care.

Sembang-sembang santai seperti inilah yang selalunya mencetuskan idea luar biasa. Semoga kehadiran Tuan Haji Zulkifli Wahijan dan semua penggerak kemanusiaan malam tadi menjadi titik mula kepada kolaborasi yang lebih mantap dan tersusun pada masa akan datang demi membela nasib mereka yang memerlukan.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia