“DI MANA KAMI NAK TINGGAL SELEPAS INI?” (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
15 December, 2025

Ada rumah yang musnah 100 peratus dan dihanyutkan arus banjir sehingga lebih 500 meter daripada kedudukan asal. Yang tinggal, cuma lantai simen.

Ada juga rumah yang kelihatan daripada luar masih elok, tapi apabila dijenguk ke bahagian dalam, ia dipenuhi lumpur lebih satu meter dan ada yang mula mengeras.

“Di mana kami nak tinggal selepas ini?”

Itu persoalan yang bermain di fikiran sebahagian mangsa banjir lumpur yang ditemui sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) di Kampung Raya Tumbo, Bireuen, Aceh, baru-baru ini.

Penasihat MCM, Profesor Dr Mohd Mizan Islam yang turut menyertai pasukan misi bantuan membabitkan 14 peserta itu berkata, kesan banjir lumpur yang melanda Aceh dan Sumatera Utara pada 27 November lalu meninggalkan kerosakan besar dan akan mengambil masa yang lama untuk pulih.

“Banyak tempat tinggal, infrastruktur awam dan kawasan pertanian yang menjadi sumber kegiatan ekonomi penduduk musnah.

“Jadi, situasi pasca bencana pastinya lebih rumit kerana ramai mangsa banjir yang bukan saja hilang tempat tinggal tapi juga hilang pekerjaan,” katanya.

Delegasi misi bantuan MCM ke kawasan terjejas di Aceh berlangsung dari 9 hingga 14 Disember 2025 membabitkan kawasan sekitar Bireun, Pidie Jaya dan Juli.

Sejumlah RM76,000 dibelanjakan untuk agihan pek bantuan bernilai RM125 setiap satu yang mengandungi beras, gula, minyak masak, biskut, kain pelekat dan telekung serta wang tunai 150,000 Rupiah setiap keluarga.

Muslim Care Malaysia. Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan, Tepat Pada Waktunya Tepat Pada Sasaran.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia