DETIK BERSEJARAH PERASMIAN SURAU SK BATU 16 GUM-GUM (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
11 November, 2026
Acaranya ringkas saja, namun majlis perasmian surau Sekolah Kebangsaan Batu 16 Gum-Gum (SKBT16GG), Sandakan, Sabah, pada 6 November 2026 satu detik bersejarah dan amat besar ertinya kepada warga sekolah itu serta Muslim Care Malaysia (MCM).
Ini kerana, surau untuk manfaat kira-kira 500 murid itu terbina selepas dua tahun melalui pelbagai proses dan cabaran - bermula dengan pengumpulan dana, kelulusan pihak berkuasa sehinggalah kerja pembinaan.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Pegawai Daerah (Sektor Pendidikan) Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan, Tuan Jeffry Nicholas. Hadir sama, Guru Besar SKBT16GG, Puan Sophia Mohd Talip dan Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail.
“Tahniah kepada SKBT16GG dan MCM atas kerjasama erat sehingga terbinanya surau ini. Ini satu contoh dan lambang kerjasama terbaik antara pengurusan sekolah dengan pihak luar yang memberi manfaat kepada murid,” kata Tuan Jeffry.
Dalam ucapan alu-aluannya Puan Sophia pula berkata, pihaknya memilih nama Al-Manar untuk surau itu yang dibina dengan kos hampir RM140,000 hasil sumbangan orang ramai melalui MCM.
“Ia membawa maksud pusat penyebaran ilmu. Jadi surau ini tidak sekadar tempat solat tapi kami mahu ia menjadi pusat ilmu untuk murid SKBT16GG. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada MCM,” katanya.
Sementara itu, Mohd Johari berkata Surau Al-Manar terbina hasil kegigihan dan kesabaran pihak MCM dan SKBT16GG berdepan pelbagai cabaran.
Beliau melahirkan kesyukuran kerana MCM mampu menyumbang satu lagi infrastruktur untuk tujuan dakwah dan kebajikan di Sabah.
Menurutnya, antara projek kebajikan MCM di Sabah sebelum ini ialah pembinaan sebuah masjid di Nabawan, Madrasah Terapung di Pulau Mabul, serta jambatan dan bot jenazah di Kampung Mengkalinau, Sandakan.
“Ini semua dengan izin Allah dan hasil sokongan dan kepercayaan orang ramai kepada MCM. Kepada murid dan guru SKBT16GG, saya minta doakan kami di MCM diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT untuk terus menabur bakti kepada masyarakat,” katanya.