DEMI KESELAMATAN, MYANMAR DITINGGALKAN LEBIH AWAL (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
25 October, 2024
Biarpun segala prosedur dipatuhi hasil perancangan rapi sejak dua bulan lalu, situasi terkini memaksa tempoh penginapan peserta misi kebajikan dan dakwah Muslim Care Malaysia (MCM) di Bokpyin, Myanmar dipendekkan.
Timbalan Presiden MCM Haji Mohd Johari Ismail yang juga ketua misi berkata atas sebab keselamatan, pihak berkuasa tempatan membenarkan rombongan MCM tinggal hanya satu malam di Bokpyin.
“Sepatutnya kami tidur tiga malam di beberapa kampung sekitar Bokpyin. Walaupun agak kecewa, kami akur dengan arahan demi kebaikan semua pihak dan yakin pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.
Untuk meninggalkan Bokpyin, peserta misi seramai 15 orang melalui pengalaman sukar dilupakan apabila duduk berhimpit-himpit di dalam lori pikap selama enam jam untuk ke jeti di Pulau Dua sebelum menaiki bot ke Ranong, Thailand.
Sebelum itu, tempoh 24 jam di Bokpyin dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti bersama penduduk kampung termasuk kenduri rakyat dengan sembelihan seekor lembu dan ziarah ke rumah penduduk kampung.
Lebih menarik, penduduk tempatan datang beramai-ramai ke pekarangan hotel penginapan peserta misi dan mempersembahkan dendangan nasyid, qasidah dan pencak silat.
Suasana bertukar sayu ketika peserta rombongan berangkat pulang kerana ramai yang menitiskan air mata ketika bersalam dan berpelukan.