DAR ENERGY SUMBANG RM13,950 UNTUK MADRASAH TERAPUNG (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
9 October, 2024
Keunikan Madrasah Terapung yang ditonton di televisyen menarik minat syarikat berkaitan minyak dan gas, DAR Energy untuk berkunjung ke Pulau Mabul, Sabah bagi melihat sendiri operasi sekolah bergerak milik Muslim Care Malaysia (MCM) itu.
Bukan itu saja, syarikat milik sepenuhnya Bumiputera itu turut menghulurkan sumbangan tunai dan barangan yang keseluruhan bernilai RM13,950.
“Apa yang dilakukan MCM ini satu usaha dakwah yang amat baik untuk perkembangan Islam,” kata Encik Rozali Ahmad, pemilik DAR Energy yang pejabatnya di Kuala Lumpur serta cawangan di Kerteh, Terengganu dan Miri, Sarawak.
Replika cek sumbangan diserahkan Rozali kepada Exco MCM, Tuan Asri Tuan Hussein selepas beliau bersama empat rakan dari DAR Energy melihat sesi pembelajaran Madrasah Terapungpada 2 Oktober 2024. Hadir sama, wakil MCM di Tawau, Ustaz Wan Azmi Wan Omar.
Selepas melihat sesi pembelajaran anak-anak Bajau Laut atau Palauh di Madrasah Terapung, Rozali dan rombongannya melawat pula Madarasah Islamiah di Pulau Mabul dan menyerahkan replika cek sumbangan RM5,000 kepada Mudir madrasah, Ustaz Morsid Harun.