DAKWAH BIL HAL DAN BIL MAL MCM DI CHIANG RAI (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
26 October, 2026
Dakwah bukan sekadar menyampaikan kata-kata, tetapi memperlihatkan keindahan Islam melalui akhlak, kasih sayang dan kepedulian terhadap insan yang memerlukan.
Menelusuri laluan berbukit yang mencabar, rombongan dakwah dan kebajikan menziarahi keluarga pelajar Madrasah As Siddiqin di Kampung Bukit Meng Konang yang sebahagiannya masih belum memeluk Islam.
Menariknya, keluarga bukan Islam ini memberikan kepercayaan kepada madrasah untuk mendidik anak-anak mereka kerana meyakini pendidikan Islam mampu membentuk akhlak yang baik.
Di sebalik rumah berlantai tanah dan berdinding buluh, tersimpan kisah kesusahan hidup. Ada yang terlantar, lumpuh dan menghidap penyakit serius, namun tidak mampu mendapatkan rawatan hospital akibat kekangan kewangan.
Selain menyampaikan sumbangan keperluan harian, pasukan perubatan PAPISMA yang diketuai Dr Nurul Huda binti Mohamed Jaid turut memberikan pemeriksaan dan khidmat nasihat kesihatan.
Allah SWT berfirman:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik.”
(Surah an-Nahl: 125)
Inilah hakikat dakwah bil hal dan bil mal. Kita hadir bukan sekadar membawa bantuan, tetapi sebagai duta Islam yang memperkenalkan keindahan agama melalui santunan dan kasih sayang.
Mungkin hari ini kita hanya mengetuk pintu rumah mereka, namun dengan izin Allah, suatu hari nanti terbuka pula pintu hati mereka untuk menerima hidayah.
Kerana tugas kita menyampaikan dan menyantuni. Hidayah tetap milik Allah SWT.
Semoga setiap langkah dan sumbangan menjadi asbab tersebarnya rahmat Islam di bumi Chiang Rai.