CERAMAH 3 TAHUN GENOSIDA GAZA DI UniSHAMS
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
18 November, 2026
Sesi perkongsian mengenai genosida di Gaza diteruskan lagi oleh Muslim Care Malaysia (MCM) dengan ceramah oleh Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar bersama pempengaruh, Ahmad Faezal di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Alor Setar, Kedah.
Semangat keprihatinan dan kesatuan jelas terpancar apabila warga UniSHAMS membanjiri perkarangan Bangunan Canselori seawal jam 8.30 pagi bagi menjayakan program Suara Ummah: Solidariti Tanpa Sempadan bersempena Hari Terakhir Citra UniSHAMS.
Tirai program dibuka dengan ucapan penuh bersemangat oleh Pengarah Program yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen serta sokongan padu seluruh peserta dalam menyahut seruan solidariti ini.
Kebersamaan warga kampus turut diperkukuh dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSHAMS, Dr. Akli Ahmad, bersama Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Puan Bushra Hayati Md Akhir yang turun padang memberikan sokongan.
Momentum program diteruskan di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah menerusi sesi forum penuh pengisian oleh Ahmad Safuan dan Ahmad Faezal dengan kupasan bernas yang menyuntik kesedaran serta semangat perjuangan dalam kalangan hadirin.
Penganjuran ini diharapkan terus menjadi pemangkin dalam menyalakan obor solidariti, empati dan ukhuwah yang utuh dalam kalangan warga universiti serta ummah keseluruhannya.