"BUKAN SUSUKAN KERA DI HUTAN.."

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
6 June, 2023

Kuala Lumpur: Inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia melakukan ibadah korban di luar negara, tidak sepatutnya disalah anggap ibarat 'menyusukan kera di hutan, anak dikendong mati kelaparan.'

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan berkata, pandangan sempit dan salah faham itu bukan perkara baharu dan dihadapi pihaknya serta NGO lain setiap kali tiba musim ibadah korban atau ketika melaksanakan misi bantuan di luar negara.

Beliau berkata, hakikatnya apa yang dilakukan MCM adalah menunaikan tuntutan Islam iaitu menghulurkan pertolongan kepada saudara seagama di luar negara yang kurang bernasib baik.

"Sebagai contoh, ada penduduk di negara Afrika yang tidak pernah makan daging lembu atau kambing. Jadi, kami membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik itu," katanya.

Zulkifli berkata, pada masa sama MCM tidak pernah mengabaikan rakyat di Malaysia. Selain turut menganjurkan ibadah korban di dalam negara, ada lebih 10 program lain yang dianjurkan MCM sepanjang tahun.

Antaranya, pembinaan rumah asnaf melalui projek 'Home2Live'; sumbangan baju dan peralatan sekolah; bantuan ubat-ubatan; kerusi roda dan katil untuk pesakit; komputer riba untuk siswa; pembinaan telaga tiub; pek makanan untuk asnaf; madrasah terapung di Pulau Mabul, Sabah; dapur rakyat serta tajaan iftar dan sahur ketika Ramadan.

Mengenai ibadah korban Aidiladha tahun ini, Zulkifli berkata, MCM meneruskan tradisi tahun-tahun sebelum ini dengan melaksanakannya di 20 negara di rantau Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika Latin.

Negara terbabit ialah Malaysia, Kemboja, Myanmar (Rohingya), Filipina (Mindanao), India, Nepal, Pakistan, Afghanistan, Palestin, Syria, Yaman, Mesir, Chad, Tanzania, Niger, Nigeria, Poland. Brazil, Mexico dan Peru.

MCM mensyasarkan kutipan sumbangan orang ramai sebanyak RM2 juta melalui sembilan pakej bermula daripada RM390 hingga RM2,100 untuk satu bahagian lembu dan RM450 hingga RM1,900 untuk seekor kambing.

"Harga ditawarkan berbeza mengikut lokasi. Sebagai contoh, harga paling murah RM390 untuk satu bahagian lembu adalah di Kemboja dan paling mahal RM2,100 adalah di Palestin," katanya.

Menurut Zulkifli, orang ramai yang ingin menyertai korban anjuran MCM boleh mendaftar di pautan: https://muslimcaremalaysiasociety.com/ms/kempen/qurban-care-2023

Bayaran boleh dibuat melalui akaun Muslim Care Malaysia: Maybank 564490413882 (Rujukan: Korban Kemboja - contoh ) dan hantar slip bayaran ke talian hotline : 011-50050035.

Beliau berkata, dengan pengalaman lebih daripada 10 tahun melakukan ibadah korban di dalam dan luar negara, insya-Allah amanah daripada orang ramai akan disempurnakan oleh MCM dengan sebaik-baiknya.

Resit rasmi, sijil penyertaan dan pautan gambar juga disediakan kepada peserta korban sebaik saja ibadah korban selesai dilaksanakan.

Ikuti berita ini di Harian Metro melalui pautan di bawah:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/06/973371/bukan-susukan-kera-di-hutan%E2%80%A6?fbclid=IwAR1No_lCTlAcT_6TE5SWl_Ae9iXGyDXbre5ZwEW4Ozdb2m9mQjMp-ZG3-VA

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia