BPMB DAN UMPSA TINJAU SESI PENGAJIAN MADRASAH TERAPUNG

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
7 August, 2023

Madrasah Terapung milik Muslim Care Malaysia (MCM) di perairan Pulau Mabul, Semporna, Sabah terus menggamit kunjungan pelbagai pihak yang berminat melihat operasinya dengan lebih dekat.

Terkini, madrasah unik itu dilawati wakil Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan rombongan penuntut serta pentadbir Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) pada 1 Ogos 2023.

BPMB yang menaja kos operasi Madrasah Terapung sebanyak RM300,000 untuk tempoh dua tahun, diwakili dua pegawai bahagian Pengurusan Zakat, Haji Roslan Yohman dan Muhamad Syafiq Syahmi Zul Akhman.

"Ini kali kedua kami melihat sesi pembelajaran di Madrasah Terapung selepas kali pertama pada November tahun lalu.

"Apa yang menyeronokkan pelajar Madrasah Terapung saya dapati kini lebih yakin dan pandai bergaul dengan orang luar. Semangat mereka untuk belajar tetap tinggi," katanya.

Madrasah Terapung yang mula beroperasi pada Mac 2022 ditubuhkan MCM khusus untuk memberi pendidikan kepada anak-anak Bajau Laut atau Palauh yang tiada warga negara dan hidup di atas sampan sebagai rumah.

Sementara itu, rombongan penuntut dan pentadbir UMPSA seramai 55 orang diketuai Naib Canselor, Prof Dato' Dr Yuserrie Zainuddin merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP.

Lawatan ke Madrasah Terapung adalah aktiviti sampingan selepas mereka mengadakan program bakti siswa di Pulau Bum Bum.

Dr Yuserrie berkata, lawatan itu memberi pengalaman baru bagi kebanyakan peserta rombongan termasuk beliau sendiri yang kali pertama melihat secara dekat cara hidup komuniti Bajau Laut.

UMPSA turut menyumbang satu set solar mini untuk kegunaan Madrasah Terapung, selain lima tong air 150 liter dan 20 pek makanan untuk penduduk Pulau Mabul.

Mengiringi lawatan dua organisasi itu ialah Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar dan Exco, Tuan Asri Tuan Hussein. Sebanyak 50 pek makanan berharga RM60 setiap satu turut disumbangkan MCM kepada keluarga asnaf di Pulau Mabul.

Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia.

Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan.

Tepat pada sasaran.

Tepat pada waktunya.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia