BOT SUMBANGAN FGV & MCM MUDAHKAN MURID PULAU TIGABU KE BANDAR KUDAT (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
6 May, 2026
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tigabu apabila aset bot yang disumbangkan melalui kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM) dan FGV Holdings kini dimanfaatkan sepenuhnya bagi urusan akademik dan kebajikan penduduk setempat.
Misi lawatan susulan yang diketuai oleh Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail, bertujuan meninjau keberkesanan sumbangan tersebut selepas dua tahun diserahkan kepada komuniti pulau berkenaan.
Guru Besar SK Pulau Tigabu, Abdullah Cik Aban berkata, pemilikan bot sendiri merupakan satu transformasi besar bagi sekolah itu yang terletak kira-kira dua jam perjalanan laut dari bandar Kudat.
“Macam tidak percaya kami kini mempunyai bot sendiri. Sebelum ini, kekangan logistik sering menjadi penghalang, namun kini bot ini sangat memudahkan urusan murid dan guru, terutamanya untuk ke bandar bagi program akademik dan kokurikulum,” katanya.
Tambah beliau, kemudahan itu turut menjimatkan kos perjalanan memandangkan sekurang-kurangnya dua kali seminggu guru atau murid perlu berulang-alik ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat.
Sumbangan bot berkapasiti 12 penumpang itu merupakan sebahagian daripada program Kasih Asnaf Saji Bersama MCM yang dilaksanakan pada Mei 2024. Program tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan melebihi RM200,000 merangkumi pelbagai bantuan kebajikan kepada 721 penduduk pulau.
Bagi memastikan kelestarian pengurusan aset, bot tersebut telah diserahkan secara rasmi kepada rsatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) sekolah menerusi satu majlis menandatangani dokumen simbolik penyerahan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Mohd Johari mewakili MCM, Yang Dipertua PIBK SK Pulau Tigabu, En. Faizal, serta disaksikan oleh Abdullah Chik.
Pihak MCM menyifatkan kejayaan projek ini sebagai bukti keberkesanan kerjasama strategik antara NGO dan korporat dalam memperkasakan pendidikan di kawasan pedalaman dan luar bandar