BERI TEKANAN KEPADA MESIR SUPAYA BUKA SEMPADAN RAFAH SEPENUHNYA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
16 November, 2023

Komuniti antarabangsa perlu bersatu dan memberi tekanan kepada Mesir supaya lintasan sempadan Rafah yang menjadi satu-satunya pintu masuk Gaza, dibuka sepenuhnya.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Tuan Haji Zulkifli Wahijan, berkata lintasan Rafah perlu segera dibuka sepenuhnya bagi membolehkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, minuman dan pasukan perubatan dihantar ke Gaza.

“Kita bukan hantar pasukan ketenteraan tetapi mahu menghantar bantuan makanan, perubatan dan lain-lain barangan keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media menggesa supaya menghentikan sekatan bantuan kemanusiaan dunia ke Gaza di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 14 November 2023

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Zulkifli juga melahirkan rasa kesal kerana persidangan Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) yang diadakan di Arab Saudi baru-baru ini, gagal menghadirkan satu tindakan yang konkrit.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa khususnya negara Islam perlu bersatu dalam tekad untuk memastikan pasukan pengaman boleh dihantar untuk memulihkan keadaan di Gaza

Sementara itu, Dr Mahathir berkata pengeluar minyak dari negara Islam digesa menghentikan penjualan bekalan minyak dan gas bukan hanya kepada Israel malah sekutunya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut adalah antara salah satu tekanan yang boleh diambil oleh negara Islam terhadap Zionis yang sedang melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.

"Allah SWT telah mengurniakan begitu banyak minyak kepada negara-negara Islam tetapi kita boleh nafikan bekalan agar mereka merasa kesannya," katanya.

Beliau berkata, penduduk dunia yang tidak menyokong tindakan ganas Israel perlu terus melakukan boikot produk yang mempunyai kaitan dengan rejim terbabit.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia