”BELUM HABIS PENAT, BANJIR DATANG LAGI…"

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
13 November, 2026

Belum sempat hilang penat membersihkan lumpur, air kembali naik menenggelamkan rumah dan segala isi di dalamnya.

Muslim CareMalaysia Soceity diwakili Timbalan Presiden Mohd Johari dan pegawai media En Nasri. Tiga kali banjir dalam tempoh sebulan!

Bayangkan betapa peritnya ujian yang terpaksa ditanggung penduduk Kampung Melayu Subang.

”Belum habis penat banjir datang lagi. Bukan sekali, tapi dah 3 kali bulan ni.”

Demikian luahan pilu Encik Azman, salah seorang mangsa banjir yang kami temui.

Setiap kali air surut, mereka bertungkus-lumus mencuci lumpur sebelum mengeras. Tilam, pakaian, perabot dan barangan rumah semuanya basah serta rosak. Belum sempat rumah kembali bersih, banjir datang sekali lagi.

Menurut penduduk, air hujan yang turun tidak dapat mengalir ke sungai kerana paras air sungai terlalu tinggi dan arusnya deras. Air hanya mula surut apabila paras sungai kembali menurun.

Lebih menyedihkan, ada antara keluarga di kawasan ini yang belum pernah menerima sebarang bantuan, dipercayai kerana kedudukan penempatan mereka yang agak terpisah daripada kawasan perumahan lain.

Seorang penyewa rumah turut berkongsi kesedihannya.

”Saya masuk menyewa bulan 7. Sampai hari ini dah 3 kali rumah dimasuki air. Semua barang musnah, pakaian semuanya basah.”

Bukan mudah menerima ujian sebegini. Penat tubuh mungkin boleh hilang dengan berehat, tetapi bagaimana pula dengan penat hati melihat segala yang diusahakan musnah berulang kali?

Kini mereka hanya mampu bersabar dan berdamai dengan takdir, meskipun hakikatnya terlalu perit untuk ditelan.

Alhamdulillah, tengahari ini 11 November 2026, MCM berkesempatan turun menyantuni 6 buah keluarga yang terjejas dengan menyampaikan bantuan kit ibadah, kit kebersihan dan barangan keperluan.

Mungkin bantuan ini tidak mampu menggantikan segala kerugian yang mereka alami, namun sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban dan memberi kekuatan bahawa mereka tidak dilupakan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan menggantikan setiap kehilangan dengan rezeki yang lebih baik.

Buat semua penyumbang, terima kasih kerana menjadi asbab hadirnya sedikit kelegaan dalam kehidupan mereka yang sedang diuji.

Hari ini mereka diuji dengan banjir. Esok, mungkin kita pula yang memerlukan pertolongan.

Kerana dalam setiap musibah, jangan biarkan ada insan yang merasa dirinya keseorangan.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia