BEKAS TENTERA POL POT ANTARA 100 YANG MEMELUK ISLAM (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
8 September, 2024

Seorang bekas tentera Khmer Rouge pimpinan Pol Pot yang memerintah Kemboja secara kejam pada tahun 1970-an, antara 100 saudara baru yang memeluk Islam dalam program bersama Muslim Care Malaysia (MCM).

Sesi pengislaman itu berlangsung dua sesi berasingan membabitkan 50 orang pada setiap sesi pada 30 Ogos dan 1 September 2024 di Wedo Educational Centre, Phum Thmey, Wilayah Kbong Tmoum, Kemboja.

Pada sesi pertama, sesi pengislaman diketuai Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan manakala sesi kedua disempurnakan bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang juga penasihat MCM.

Apa yang menarik, sesi melafazkan syahadah secara beramai-ramai itu sebenarnya tiada dalam jadual program MCM di Wedo Educational Centre bersama-sama 32 pelajar yang juga ahli kelab Bravo Universiti Malaya.

Ia berlaku secara spontan atas permintaan semua saudara baru itu sendiri sebelum majlis disusun oleh Pengetua Wedo Educational Centre, Ustaz Zahari Ismail.

“Ini semua perancangan Allah. Mengislamkan 50 orang serentak adalah sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan,” kata Haji Zulkifli.

Perkara sama diakui Dr Zulkifli yang menyifatkan ia juga satu pengalaman baru buatnya.

“Kalau di Malaysia biasanya seorang dua atau tiga orang yang masuk Islam dalam satu majlis. Susah kita nak dapat 50, malah 100 orang masuk Islam serentak, “ katanya.

Sebelum sesi melafazkan syahadah saudara baru terbabit diberi penerangan ringkas mengenai ajaran Islam.

Selepas selesai majlis, peserta diberi sedikit cenderahati termasuk buku panduan mengenai Islam, tudung dan kain telekung untuk wanita.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia