BANTUAN SEGERA UNTUK MANGSA BANJIR PAYA JARAS (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
11 November, 2026
Semalam mereka masih tidur beralaskan tilam, berbantalkan bantal dan berselimut dengan selesa. Namun hari ini, sebahagian nikmat itu hilang sekelip mata apabila banjir melanda kediaman mereka.
Itulah antara ujian yang sedang dihadapi penduduk Kampung Merbau Sempak, Paya Jaras, Sungai Buloh, apabila limpahan air banjir menenggelamkan kawasan kediaman, merosakkan perabot, tilam, peralatan elektrik dan pelbagai barangan keperluan harian.
Muslim Care Malaysia Society (MCM) meneruskan misi bantuan banjir buat hari kedua berturut-turut, kali ini di Kampung Paya Jaras selepas menyantuni mangsa banjir di Kampung Kubu Gajah semalam. Turut serta dalam misi hari ini Mohd Johari Ismail, Timbalan Presiden, Tuan Hj Arman Mustafa, BOD bersama 2 orang kakitangan.
Sebanyak 200 set pek bantuan awal yang terdiri daripada toto, bantal, kit kebersihan (tuala, sabun mandi, berus dan ubat gigi) dan kit ibadah (sejadah, telekung dan kain pelikat) disediakan bagi membantu keluarga yang terjejas meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
Hasil tinjauan di lapangan mendapati sebahagian rumah masih ditenggelami air, manakala penduduk di kawasan yang mulai surut sedang bertungkus-lumus membersihkan lumpur yang memenuhi ruang kediaman.
“Terima kasih MCM hadir dengan pacuan 4X4 kerana barulah dapat kami tinjau secara dekat mangsa-mangsa banjir.”
Kata petugas Khidmat Malaysia Sg Buloh Hj Nik Ismail yang juga pengarah bilik operasi banjir KM.
Lebih menyukarkan keadaan, terdapat juga rumah yang tidak dimasuki air tetapi terputus hubungan darat akibat laluan sekeliling yang masih ditenggelami banjir. Pasukan MCM turut membantu beberapa penduduk keluar dari kawasan kediaman mereka menuju ke tempat yang lebih selamat.
Pada tengah hari, Bendahari MCM turut bersama petugas tempatan mengagihkan makanan panas kepada mangsa yang terjejas.
Dalam masa yang sama, MCM sedang mengusahakan pembukaan Dapur Rakyat dengan kerjasama petugas setempat bagi menyediakan makanan panas secara berterusan kepada keluarga yang masih terkesan akibat banjir.
Sesungguhnya, ujian seperti ini mengingatkan kita bahawa segala keselesaan dan nikmat yang dimiliki hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 155)
Semoga setiap keluarga yang diuji dikurniakan kesabaran, ketabahan dan kekuatan untuk bangkit semula. Mudah-mudahan Allah SWT menggantikan setiap kehilangan dengan rezeki yang lebih baik dan melimpahkan rahmat-Nya kepada semua yang terkesan.