
BANTUAN MCM UNTUK MANGSA BANJIR DI KELANTAN (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
6 December, 2024
Banjir besar yang melanda dua kampung di Rantau Panjang, iaitu Kampung Bukit Saji dan Kampung Putat 7 sehingga hari ini, 3 Disember 2024 telah mengakibatkan hampir 106 keluarga terjejas. Kejadian ini menyebabkan penduduk terkandas di rumah masing-masing tanpa bekalan makanan dan keperluan asas. Ketinggian air mencapai paras kepala dan ada yang mencecah hingga ke bumbung rumah.
Beberapa penduduk terpaksa bertahan selama dua hari dengan berlindung di atas pokok bagi menyelamatkan diri daripada arus deras.
Muslim Care Malaysia(MCM) segera tampil menghulurkan bantuan. Sebanyak 10 kenderaan pacuan empat roda bersama 40 sukarelawan digerakkan ke lokasi banjir.
Agihan makanan segera seperti roti, air minuman, roti canai dan biskut dilakukan selain menyediakan set kebersihan yang merangkumi tuala mandi, berus gigi, sabun mandi dan ubat gigi.
Seorang penduduk Kampung Bukit Saji berkata, “Banjir kali ini sangat mencabar. Kami terpaksa bertahan di atas pokok selama dua hari. Kehadiran sukarelawan memberi kami sinar harapan untuk terus bertahan.”
Setiausaha MCM, Tuan Ahmad Safuan Ujar menegaskan komitmen MCM untuk meneruskan misi bantuan ke kawasan lain yang turut terjejas.
Banjir ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, tetapi juga menyukarkan penduduk mendapatkan air bersih.
Pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada langkah pencegahan seperti sistem amaran awal dan penambahbaikan infrastruktur bagi mengurangkan risiko di masa depan.
Laporan cuaca terkini menjangkakan hujan lebat berterusan di Kelantan.
Penduduk disarankan berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan mereka.