BANTUAN KE GAZA: ALHAMDULILLAH ALLAH BERIKAN JALAN (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
2 December, 2024

Ketika semua laluan penghantaran bantuan ke Gaza dikatakan tertutup, Muslim Care Malaysia (MCM) dihadirkan berita gembira apabila 5.5 tan daging korban sejuk beku yang dihantar hampir tiga bulan lalu berjaya tiba di Gaza, baru-baru ini.

Perkembangan positif itu menyuntik keyakinan MCM untuk menghantar bantuan musim sejuk ke Gaza melalui Kaherah, Mesir.

“Alhamdulillah..Allah menunjukkan kita jalan. Kami diberitahu barangan ini akan sampai ke Gaza dalam

masa masa masimum sebulan biarpun jarak Kaherah - Gaza tidak sampai 500km,” kata Presiden MCM Tuan Haji Zulkifli Wahijan

Misi penghantaran bantuan musim sejuk di Kaherah itu disertai 15 orang termasuk wakil sebahagian daripada rakan strategik MCM iaitu Pertubuhan Lestari Ummah, Klinik Syifa’ 24 Jam, Pertubuhan Maktabah Albakri dan Surau Almuhsinin Petronas.

Antara aktiviti utama misi dari 9 sehingga 17 November 2024 itu ialah mempersiapkan barangan bantuan untuk dimuat naik ke atas tiga lori kontena di sebuah gudang di pinggir bandar raya Kaherah sebelum barangan itu dihantar ke Gaza.

Haji Zulkifli berkata, antara barangan yang dihantar ialah 100 unit khemah yang setiap satu boleh memuatkan sehingga 10 orang.

“Kami juga menghantar 1,800 pek lampin pakai buang, 550 kit kebersihan diri, selimut dan payung.” katanya.

Kos semua barang itu mencecah RM400,000 dan MCM turut menghantar wang tunai berjumlah lebih RM150,000 kepada wakil MCM di Gaza, Abu Ayesh untuk kos pembelian makanan untuk diagihkan kepada penduduk Gaza.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia