AYUH KEMBALIKAN SENYUMAN MEREKA (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
2 December, 2024

Peserta Misi Bantuan Musim Sejuk Pa le stin 2024 Muslim Care Malaysia (MCM) berkesempatan menziarahi empat rumah yang dihuni enam keluarga di beberapa lokasi di pinggir bandar Kaherah pada 11 November 2024.

Paling meruntun hati ialah kesengsaraan adik Saja berusia 5 tahun yang mukanya terbakar teruk selepas rumah keluarganya di Gaza dibom pada Mac tahun ini.

Saja ibarat mati hidup semula apabila berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan 10 tingkat yang menempatkan rumahnya.

Peserta misi, Dr Mohd Ehsan Hakimi dari Klinik Syifa’ 24 Jam yang memeriksa gadis kecil itu berkata, Saja mengalami kecederaan melecur tahap tiga yang bukan saja pada kulit tetapi juga tulang dan otot di mukanya.

Menurutnya, Saja perlu menjalani sekurang-kurangnya tiga pembedahan lagi termasuk pembedahan plastik untuk menghilangkan parut di mukanya.

“Saja kini susah untuk makan dan kulit mukanya juga tak boleh terdedah kepada cahaya matahari. Jadi, pembedahan perlu dilakukan segera. Jika tidak parut di mukanya akan keras dan menjadi cacat kekal,” katanya.

Selain Saja, seorang lagi gadis cilik yang memerlukan bantuan ialah Maya berusia empat tahun yang kehilangan kepala lutut, juga akibat ledakan bom.

Akibatnya, kaki kanan Maya kini pendek 13cm berbanding kaki kiri dan keadaan ini menyukarkan pergerakannya.

Terdapat hampir 100,000 warga Ga za kini berada di wilayah berjiran, Kaherah, Mesir selepas Taufan al-Aqsa tercetus pada 7 Oktober 2023.

Jika tidak kerana terpaksa pastinya mereka tidak meninggalkan Ga za, sebaliknya terus bertahan di sana biarpun sedar risiko kematian teramat tinggi.

Dalam kes Saja, hanya ibu dan adiknya yang berhijrah ke Kaherah dengan matlamat untuk merawat kecederaan kanak-kanak itu manakala ayahnya masih meneruskan kehidupan di Ga za.

Sementera itu, Presiden MCM Tuan Haji Zulkifli Wahijan berkata pihaknya akan mengambil inisiatif untuk membantu menampung kos rawatan Saja yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM150,000.




© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia