
ANAK AKTIVIS MASYARAKAT TERIMA BANTUAN KOMPUTER RIBA
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
3 May, 2025
Melibatkan diri sebagai aktivis masyarakat sepenuh masa bermaksud setuju untuk bekerja dengan elaun yang rendah. Walaupun keperluan semasa semakin meningkat, namun rasa kebertanggungjawaban itu membuatkan mereka masih setia memilih jalan ini.
Biarpun tidak terkenal di kalangan umum, kami di Muslim Care Malaysia (MCM) sangat memandang tinggi jasa dan sumbangan mereka.
Keberjayaan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi memanggil kami untuk menganugerahkan sumbangan komputer riba.
Tiga buah keluarga aktivis yang menerima bantuan komputer riba di bawah Program Untukmu Siswa hari ini, 29 April 2025 telah disampaikan sendiri oleh Presiden MCM, Tuan Hj Zulkifli Wahijan dan Exco Bencana MCM, Arman Mustafa.
Tahniah diucapkan kepada Nur Hanis Hannani (Universiti Islam Pahang Sultan Ahamad Shah) Nur Soleha (UiTM Kampus Rembau) dan Muhammad Annas Adha (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia).
Allah SWT mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya yang bermaksud;
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.
(Surah Al-Mujadalah:11)
Semoga ada saham kebaikan juga untuk kita semua sepanjang mereka menggunakan komputer riba yang diterima.