“ALLAH HANTAR KAMI KE PULAU SANGHAI KERANA DOA ANDA” (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
11 November, 2026

“Mungkin ada dalam kalangan ibu ayah di sini sedang dalam kesempitan dan berdoa meminta Allah SWT kurniakan rezeki.

“Jadi, itulah asbab kenapa kami sampai ke sini,” kata Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Mohd Johari Ismail dalam ucapan ringkasnya.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan sumbangan pek makanan kepada lebih 200 ketua keluarga di perkampungan nelayan Pulau Sanghai dan Pulau Tronglit di Sandakan Sabah pada 7 November 2026.

Ia sebahagian daripada program dalam Misi Kasih Asnaf MCM di Sandakan dan Tawau, Sabah yang berlangsung dari 6 hingga 9 November 2026.

Sebanyak 210 pek makanan diagihkan kepada keluarga yang kebanyakannya nelayan di dua pulau itu iaitu 145 di Pulau Sanghai dan bakinya di Pulau Tronglit.

Keseluruhan pek makanan bernilai RM 16,800 atau RM 80 setiap satu itu mengandungi pelbagai jenis makanan termasuk satu kampit beras seberat 10kg, makanan kering, gula, sardin, susu dan lain-lain.

Perjalanan menaiki bot ke dua pulau itu memakan masa kira-kira 20 minit daripada jeti di Kampung Bahagia.

Sementara itu, Puan Marlina, seorang daripada penerima sumbangan di Pulau Sanghai berkata sumbangan sekampit beras seberat 10kg dan pelbagai barang makanan itu amat berharga kepada dia dan keluarga.

“Sumbangan ini benar-benar meringankan beban kami kerana dapat jimatkan duit, tak perlu lagi beli beras yang sudah mahu habis,” kata ibu kepada lima anak itu.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia