ALANGKAH INDAH DAPAT BALAS JASA GURU

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2025

Tiada yang lebih menggembirakan seorang bekas pelajar melainkan dapat membalas jasa dan budi baik gurunya.

Begitulah perasaan Exco Pendidikan Muslim Care Malaysia (MCM) Ustaz Nazmi Karim apabila dapat berjumpa dengan bekas gurunya di Syria yang kali terakhir ditemui 14 tahun lalu.

Lebih manis dalam pertemuan pada 27 Januari 2025, Ustaz Nazmi bersama delegasi 'Malaysia Aid2Syria' turut menyampaikan 870 kotak makanan, kit kebersihan dan pakaian musim sejuk kepada Maahad al-Furqan, tempat dia menimba ilmu dulu.

Sumbangan itu memberi manfaat kepada sebahgian daripada 1,700 penuntut dan 300 kakitangan termasuk guru di situ.

Ustaz Nazmi pernah menuntut di Maahad al-Furqan yang terletak di tengah bandar Damsyik, Syria pada 1992 hingga 1998, dan gurunya merangkap mudir, Syeikh Ziyad Biraqdar masih mengajar di situ.

"Syeikh ini banyak menjaga saya dulu. Siang dia mengajar, malam pula dia berjalan kaki sejauh lima kilometer untuk ke asrama kami yang terletak di atas bukit.

"Dan, sekarang pada usia 71 tahun Syeikh masih melakukan tugas yang sama. Mengajar pada waktu siang dan menjadi warden asrama pada waktu malam," kata Ustaz Nazmi. sambil

menahan sebak.

Maahad al Furqan menjadi lokasi terakhir agihan sumbangan siri jelajah 'Malaysia Aid2Syria' yang membabitkan empat lokasi iaitu Aleppo, Hama, Homs dan Damsyik dengan sumbangan keseluruhan kepada 5,000 penerima.

Misi ‘Malaysia Aid2Syria’ yang membabitkan kerjasama 14 organisasi diketuai Muslim Care Malaysia (MCM) mengambil masa 12 hari sehingga 31 Januari 2025.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia