AKADEMI DAKWAH BORNEO (ADAB) DALAM PEMBIKINAN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
25 August, 2025

Perbincangan santai sambil menikmati sarapan di sebuah restoran, insyaAllah akan membawa kepada tertubuhnya sebuah akademi dakwah bagi menyuburkan perkembangan Islam di Sabah.

Akademi Dakwah Borneo (ADAB) - itulah nama intitusi yang bakal direalisasikan hasil kerjasama erat Muslim Care Malaysia (MCM) dengan NGO tempatan, Sabah Relief.

Jutaan terima kasih kepada Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Bongsu @ Aziz Jaafar atas sokongan yang dizahirkan, sejurus kertas kerja penubuhan ADAB dibentangkan kepada beliau dalam pertemuan santai pada pagi 19 Ogos 2025 di Kota Kinabalu.

Penerangan mengenai konsep dan peranan ADAB dijelaskan kepada Datuk Bongsu oleh Presiden MCM, Haji Zulkifli Wahijan dan Timbalan Pengerusi Sabah Relief, Ustaz Tarmizi Yahya.

“InsyaAllah, ADAB akan menyediakan silibus yang menyeluruh dan praktikal untuk memperkemaskan lagi gerak kerja dakwah kepada daie dan sesiapa saja yang berminat dengan kerja dakwah,” kata Ustaz Tarmizi.

Dalam pertemuan itu, Datuk Bongsu turut teruja mendengar pencapaian dan perkembangan terkini Madrasah Terapung MCM di Pulau Mabul, Semporna daripada Haji Zulkifli.

Antaranya, perancangan mendirikan sebuah madrasah lanjutan di pesisir pantai Pulau Mabul untuk kelompok pertama pelajar Madrasah Terapung yang sudah mengikuti pengajian asas sepanjang hampir tiga tahun lalu.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia