
AGIHAN KELOMPOK PENERIMA PERTAMA DI ALEPPO SELESAI (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2025
Seramai 550 penduduk Urqub dan Babul Hadid, di pinggir bandar Aleppo menjadi kelompok pertama daripada 5,000 orang yang disasarkan menerima sumbangan ‘Malaysia Aid 2 Syria’.
Agihan sumbangan dilakukan pada 21 Januari 2025 membabitkan 200 penduduk Urqub yang menerima kit kebersihan diri manakala 350 orang menerima set pakaian sejuk iaitu baju, seluar dan kasut di Babul Hadid.
Pada hari sama, 28 peserta misi turut melawat gudang pengumpulan dan pembungkusan barangan sumbangan di Sarmada, berhampiran sempadan Syria - Turikye.
Misi ‘Malaysia Aid 2 Syria’ yang membabitkan kerjasama 14 organisasi diketuai Muslim Care Malaysia (MCM) setakat ini mengumpulkan RM750,000 daripada RM1 juta yang disasarkan.
Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan berkata sumbangan akan turut diberikan kepada guru agama dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat sehingga menjelang Ramadan akan datang.
“Kami masih mengharapkan sumbangan daripada orang ramai dan ia boleh disalurkan ke akaun Muslim Care Malaysia 564490413882 (Maybank)” katanya.
Keseluruhannya 14 organisasi bergabung untuk ‘Malaysia Aid 2 Syria’termasuk tiga NGO lain selain MCM iaitu Muslim Volunteer Malaysia - MVM, Cinta Gaza Malaysia dan Harmoni Prihatin Malaysia, dua doktor dan dua media arus perdana iaitu Harian Metro dan TV Alhijrah.
Misi mengambil masa 11 hari dengan program sumbangan pek makanan, bantuan pakaian musim sejuk dan pemeriksaan kesihatan di Damsyik, Aleppo, Hama dan Homs.