
AGIHAN DI PERKAMPUNGAN PALESTIN DI SYRIA (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2025
Rakyat Pelestin yang menjadi pelarian di Syria turut disantuni dan menjadi sebahagian daripada 5,000 penerima sumbangan misi bantuan ‘Malaysia Aid 2 Syria.’
Mukhaiyam Yarmuk atau Kem Yarmuk yang terletak di pinggir Damsyik antara tiga lokasi agihan sumbangan pakaian musim sejuk, pek makanan dan kit kebersihan pada 25 Januari 2025.
Kem Yarmuk yang dibuka pada 1950-an pernah menjadi tempat tinggal kepada 180,000 pelarian Palestin, namun pada masa ini jumlahnya berkurang kepada kira-kira 18,000 orang.
Hujung 2012 berlaku serangan dahsyat oleh tentera Presiden Bashar al-Assad ke atas kem itu kerana ramai pejuang kebebasan berkubu di situ.
Ketika itu, hampir semua penghuni Kem Yarmuk lari menyelamatkan diri dan kem itu ditutup serta menjadi kawasan larangan sehingga 2019.
Selain agihan 350 set baju sejuk di Kem Yarmuk dua lagi lokasi agihan ialah Kaffarsusah dan Joubar di mana 300 kit kebersihan dan 250 pek makanan diedarkan.
Sepanjang perjalanan dan ketika berada di ketiga-tiga lokasi, pemandangan sekeliling amat menyedihkan dengan kesan runtuhan bangunan akibat bedilan bom.
Paling terkesan ialah ketika bas dinaiki 28 peserta Malaysia Aid 2 Syria melalui bandar Ghoutah di mana lebih 1,000 terkorban akibat serangan bom kimia oleh Russia yang menyokong Bashar pada 2013.
Sukar diterima akal, bagaimana seorang ketua negara sanggup melakukan sekejam itu kepada rakyat sendiri samata-mata kerana ingin mempertahan jawatan dan kuasa.
Misi ‘Malaysia Aid 2 Syria’ yang membabitkan kerjasama 14 organisasi diketuai Muslim Care Malaysia (MCM) mengambil masa 12 hari bermula 20 Januari 2025.
Pengisian misi ialah agihan sumbangan pek makanan, bantuan pakaian musim sejuk dan pemeriksaan kesihatan di Damsyik, Aleppo, Hama dan Homs.