7,500 ORANG BAKAL TERIMA MANFAAT PUSAT ISLAM DI MANILA YANG BAKAL DIBINA MCM
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
12 August, 2026
Kira-kira 7,500 umat Islam yang menetap dan bekerja di Bandar Mandaluyong, Metro Manila, Filipina bakal menerima manfaat menerusi pembangunan sebuah pusat Islam yang akan dilaksanakan oleh Muslim Care Malaysia Society (MCM).
Projek Pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong yang dianggarkan bernilai RM6.25 juta itu dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yang Berbahagia Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail pada 4 Ogos 2026 di Dewan Seminar, Wisma PERKIM Kebangsaan, Kuala Lumpur.
Projek berkenaan merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkukuh syiar Islam, selain memenuhi keperluan ibadah, pendidikan, dakwah, kebajikan dan pembangunan komuniti Muslim di Mandaluyong serta kawasan sekitarnya.
Dalam ucapannya, Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib berharap pembangunan pusat Islam tersebut dapat membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia dan Filipina, khususnya dalam bidang pendidikan Islam, pembangunan sosial, pengurusan masjid dan pembangunan komuniti.
Menurut beliau, pusat itu juga diharapkan menjadi lambang persahabatan, keamanan dan ukhuwah Islamiah antara rakyat kedua-dua negara.
Beliau turut menyeru agensi kerajaan, sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan orang ramai agar menyumbang dalam bentuk kewangan, kepakaran, tenaga serta doa bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan.
Presiden MCM, Haji Zulkifli bin Wahijan berkata, projek tersebut tercetus selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kesukaran masyarakat Islam di Mandaluyong untuk menunaikan solat Jumaat akibat kekurangan kemudahan ibadah yang sesuai.
Menurut beliau, komuniti Muslim di kawasan itu kini hanya menggunakan sebuah ruang ibadah sementara berkeluasan kira-kira 10 kaki × 10 kaki yang mampu menampung sekitar 25 jemaah pada satu-satu masa.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian jemaah terpaksa menunaikan solat di luar ruang berkenaan dalam persekitaran yang dikelilingi premis menjual minuman keras dan makanan tidak halal.
Beliau berkata, Pusat Islam Bandar Mandaluyong bukan sahaja akan menyediakan ruang ibadah yang lebih selesa, malah bakal menjadi pusat pendidikan Islam, dakwah, kebajikan dan aktiviti pembangunan komuniti.
“Walaupun usaha mengumpulkan dana sebanyak RM6.25 juta bukanlah satu tugas yang mudah, kami percaya ia dapat direalisasikan dengan sokongan dan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau turut menyeru agensi kerajaan, sektor korporat dan swasta, institusi kewangan, pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai agar bersama-sama menjayakan pembinaan pusat tersebut menerusi konsep “Kongsi Pahala”.
Majlis itu turut dihadiri wakil agensi kerajaan, institusi kewangan, sektor korporat, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis yang aktif dalam program kebajikan dan dakwah, antaranya Datuk Nash, Lala, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Antara pertubuhan bukan kerajaan yang hadir ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muslim Volunteers Malaysia (MVM), Ikhlas Care, Yayasan Amal, Yayasan Abqari dan Yayasan Restu.
Menerusi pelancaran tersebut, MCM berharap sokongan berterusan daripada semua pihak dapat membantu mencapai sasaran kutipan dana sebanyak RM6.25 juta.
Sokongan itu akan membolehkan Pusat Islam Bandar Mandaluyong direalisasikan demi menyediakan kemudahan ibadah, pendidikan, dakwah, kebajikan dan pembangunan komuniti yang lebih baik kepada umat Islam di Mandaluyong serta kawasan sekitar Metro Manila.