75 RUMAH HANYUT, KAMPUNG KINI JADI SUNGAI (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
15 December, 2025
KIra-kira 1,000 penduduk Kampung Balee Panah, Kabupaten Bireuen, Aceh kehilangan tempat tinggal apabila lebih 100 rumah yang didiami musnah ketika banjir lumpur luar bisa melanda kampung itu pada 27 November 2025.
Peserta misi bantuan Muslim Care Malaysia (MCM) yang melawat kampung itu pada 11 Disember 2025 berkesempatan melihat sendiri bagaimana perkampungan itu kini lenyap selepas ‘ditelan’ sungai yang lebarnya bertambah berkali ganda.
Menurut penduduk kampung, 75 rumah `hilang’ dihanyutkan arus banjir manakala 35 rumah rosak teruk, menyebabkan semua penghuni rumah yang jumlahnya dianggarkan 1,000 orang kini tinggal di ‘rumah pengungsian’ atau Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Bendahari Agung MCM, Ustaz Ahmad Shukri Ismail yang juga ketua misi berkata, ujian yang dilalui mangsa banjir di kampung itu amat berat sekali.
“Sudah lebih dua minggu mereka tinggal di khemah, bangsal dan masjid yang dijadikan rumah pengungsian atau PPS yang serba kekurangan, tiada elektrik dan hanya berharap makanan sumbangan orang ramai.
“Mereka juga tak ada duit untuk membina rumah baru, malah ada di antara mereka yang hilang pekerjaan. Begitulah sukarnya kehidupan mereka,” katanya.
Misi bantuan MCM ke kawasan terjejas di Aceh berlangsung dari 9 hingga 14 Disember 2025 membabitkan kawasan sekitar Bireuen, Pidie Jaya dan Juli.
Sejumlah RM76,000 dibelanjakan untuk agihan pek bantuan bernilai RM125 setiap satu yang mengandungi beras, gula, minyak masak, biskut, kain pelekat dan telekung serta wang tunai 150,000 Rupiah setiap keluarga.
Ayuh kita sama-sama membantu meringankan beban mangsa banjir lumpur luar biasa di Aceh melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882.
InsyaAllah MCM akan menghantar misi bantuan kedua ke Aceh dalam masa terdekat.
Muslim Care Malaysia. Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan, Tepat Pada Waktunya Tepat Pada Sasaran.