
7 ORGANISASI, 200 SUKARELAWAN DI MISI BANTUAN BANJIR TUMPAT (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
16 December, 2024
Pembabitan hampir 200 orang daripada tujuh organisasi awam, sukarela dan swasta, menjadikan misi bantuan banjir di Tumpat dengan nilai sumbangan lebih RM150,000 pada 12 Disember 2024, antara terbesar kepada mangsa banjir di Kelantan.
Tujuh organisasi terbabit ialah FGV Holdings Berhad (FGV), Muslim Care Malaysia (MCM), Pejabat Menteri Besar Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolej Polytech Mara (KPTM) Kota Bharu, Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan (MESRA) dan Kelab Land Rover Kelantan.
Majlis perasmian ringkas disempurnakan Ecxo Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital Dan Inovasi Negeri, Dato' Wan Roslan Wan Hamat di Dewan Bunga Raya Resort Pantai Sri Tujuh.
Turut hadir Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita, YB Rohani Ibrahim; ADUN Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan; Ketua Bahagian Keselamatan, Kesihatan & Alam Sekitar Kumpulan FGV merangkap Ketua Misi Bantuan Banjir FGV, Encik Shaharizan Bin Yunus, dan Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan.
Seusai majlis perasmian, sukarelawan yang menaiki 32 kenderaan segera begerak mengagihkan barangan sumbangan kepada 1,200 keluarga di lima kawasan iaitu Mukim Pak Keral, Wakaf Baru, Kelaboran, Pondok Rahmaniah dan Iktikaf Arwah Pak Man.
Antara barangan keperluan harian yang disumbangkan termasuk beras, minyak masa, gula keluaran anak syarikat FGV serta 68 karton air mineral dan 100 kit ibadah sumbangan MCM.
Encik Shahrizan dan Tuan Haji Zulkifli turut menziarah empat rumah mangsa banjir di Mukim Pak Keral untuk mengagihkan sumbangan kepada penghuni yang ada di antaranya pesakit terlantar dan orang kelainan upaya (OKU).