600 HADIRI SAMBUTAN AIDILFITRI DI PUSAT ISLAM MCM BRAZIL
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
30 April, 2023
Biarpun baru berusia tidak sampai sebulan, Pusat Islam Muslim Care Malaysia (MCM) di Florianopolis, Brazil sudah mampu berfungsi sebagai pusat komuniti kepada umat Islam di situ.
Ini terbukti apabila lebih 600 orang hadir bagi menjayakan sambutan Aidilfitri yang diadakan buat kali pertama di Pusat Islam MCM itu, pada 22 April 2023.
Ketua MCM Brazil, Hussein Abu Marzouq berkata pihaknya bersyukur dengan jumlah kehadiran yang agak besar itu, memandangkan usia MCM Brazil yang terlalu muda.
"Ini petanda amat positif untuk Pusat Islam MCM Brazil menjadi pusat komuniti kepada umat Islam di sini. InsyaAllah, sebuah Sekolah Antarabangsa Islam juga akan beroperasi di sini tak lama lagi," katanya.
Majlis bermula dengan jamuan sarapan pada jam 9 pagi, diikuti makan tengah hari dan berakhir jam 3 petang. Pelbagai jenis alat permainan dan riadah turut disediakan untuk kanak-kanak.
Bangunan Pusat Islam dan Sekolah Antarabangsa MCM Brazil itu berharga kira-kira RM13.5 juta dan diwakafkan kepada MCM oleh Syeikh Mahmud Hussein, seorang ahli perniagaan Palestin yang sudah lama menetap di Brazil.
Terdapat lebih kurang 1,000 penduduk Islam di Florianopolis, sebuah bandar tumpuan pelancong serta umat Islam yang berhijrah Palestin, Syria, Yaman dan lain-lain.
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve