5 NGO DAN PEMPENGARUH MEDIA SOSIAL SERTAI TAKLIMAT DIPLOMA KERJA SOSIAL ANJURAN USIM-MCM
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
4 November, 2026
Sesi taklimat mengenai program Diploma Operasi, Pentadbiran dan Kerja Sosial khusus untuk petugas NGO anjuran Muslim Care Malaysia (MCM) menerima sambutan memberangsangkan.
Ia berlangsung selama hampir dua jam di pejabat MCM di Selayang, Selangor pada 31 Oktober 2026 dengan dihadiri 15 peserta.
Mereka membabitkan wakil dari lima NGO, sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pempengaruh media sosial berkaitan isu Palestin, Fatin Syahirah Idris.
Lima NGO itu ialah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Sri Damansara, Alkhair Malaysia, Pusat Pendidikan Komuniti Chow Kit, Rumah Kebajikan Anak Yatim Ulul Azmi dan Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia.
Taklimat disampaikan oleh Encik Rozaimi Kamarudin selaku Penyelaras program dari Universiti Sains Islam Malaysia - USIM Talentcraft (UTC). Hadir sama, Presiden MCM Haji Zulkifli Wahijan.
Sesi taklimat ini adalah langkah awal sebelum peserta mendaftar dan mengikuti pengajian Diploma Operasi, Pentadbiran dan Kerja Sosial yang dikelolakan UTC dengan kerjasama MCM di kampus USIM di Nilai, Negeri Sembilan.
Rozaimi berkata, pengajian yang menggabungkan aspek pengurusan operasi, pentadbiran serta kemahiran dalam bidang kerja sosial itu akan dilakukan secara atas talian dan fizikal selama enam bulan.
“Terima kasih kepada MCM kerana menganjurkan sesi taklimat ini. Alhamdulillah semua peserta bersemangat dan teruja untuk mengikuti program pengajian ini yang saya jadualkan bermula awal tahun depan, insyaAllah,” katanya.
Sementara itu, Haji Zulkifli berkata pihaknya merancang untuk mengadakan satu lagi sesi taklimat secara atas talian untuk membolehkan lebih ramai peserta mengikutinya.
“Kami mendapat maklum balas daripada individu dari luar Lembah Kelang termasuk dari Sabah yang berminat untuk mengikuti sesi taklimat ini. Jadi, insyaAllah, sesi akan datang kita akan buat secara atas talian,: katanya.
Pengajian berkaitan kerja sosial amat penting kerana Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 (RUU PKS 2026) yang diluluskan Parlimen pada Julai lalu bakal mewajibkan semua pekerja sosial termasuk petugas NGO berdaftar dengan Lembaga Profesion Kerja Sosial.
Untuk pendaftaran diluluskan pekerja sosial wajib memiliki kelayakan akademik Pengurusan Kerja Sosial sekurang-kurangnya peringkat sijil, sama ada tahap satu hingga paling tinggi, tahap lima yang setaraf diploma lanjutan.
Sebelum ini, UTC memilih MCM sebagai rakan strategik dan NGO pelopor untuk mengikuti program pengajian ini dan kedua-dua pihak menandatangani surat hasrat untuk melaksanakan kerjasama dalam satu majlis pada 29 September 2026.