30 SET BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI NIBONG TEBAL
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
23 November, 2026
Muslim Care Malaysia Society (MCM) dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Sungai Bakap telah menyalurkan sebanyak 30 set bantuan berupa kit kebersihan, tilam dan toto kepada mangsa banjir di Kampung Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 20 November 2026.
Program serahan bantuan yang berlangsung di Masjid Jamek Sungai Kechil pada jam 2.30 petang itu bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas akibat kejadian banjir pada pertengahan November lalu.
Kejadian banjir yang dilaporkan berlaku sekitar jam 8.00 malam pada 15 November 2026 telah menjejaskan 27 buah rumah, apabila air bercampur selut naik sehingga paras dada dan bertakung selama kira-kira empat jam, sekali gus mengakibatkan kerosakan harta benda serta menjejaskan kehidupan harian penduduk.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak tempatan, kejadian tersebut dikaitkan dengan taburan hujan lebat melebihi 70 milimeter, kerosakan struktur ban serta projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang masih belum siap sepenuhnya.
Aliran air dari kawasan hulu turut dilaporkan menyumbang kepada peningkatan paras air sehingga menjejaskan beberapa kawasan sekitar, termasuk Sungai Buaya, Kampung Besar, Kampung Setul Jawi, Sungai Duri dan Relau.
Serahan bantuan tersebut turut dihadiri oleh wakil Pusat Khidmat ADUN Sungai Bakap, bersama Ahmad Safuan Ujar, Setiausaha Agung MCM, dan Haji Arman Mustafa, Ahli Lembaga Pengarah MCM, serta pasukan media dan sukarelawan MCM yang membantu melancarkan perjalanan program.
Selain menyampaikan sumbangan, program berkenaan turut menjadi ruang untuk MCM mendapatkan gambaran sebenar keadaan penduduk serta mendengar penjelasan berhubung isu sistem tebatan banjir yang dibangkitkan oleh pihak tempatan.
Isu kerosakan ban dan pelaksanaan projek tebatan banjir itu turut dicadangkan untuk dibawa kepada perhatian pihak berkuasa berkaitan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan tindakan susulan diambil demi mengurangkan risiko kejadian berulang.
MCM berharap agar bantuan yang disalurkan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga terjejas, khususnya dalam usaha membersihkan kediaman dan meneruskan kehidupan selepas musibah.