3 JAM MENYUSURI TASIK TEMENGGOR, SANTUNI 100 KELUARGA ORANG ASLI
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
24 November, 2026
Perjalanan tiga jam menyusuri luasnya Tasik Temenggor menaiki rumah bot dari Jeti Tasik Banding menjadi saksi kesungguhan 80 sukarelawan HEROES MCM dan U-HEROES MCM dalam menyantuni masyarakat pedalaman menerusi Program Kasih Asnaf Muslim Care Malaysia Society (MCM) pada 21 dan 22 November 2026.
Misi dua hari satu malam ini menyasarkan 100 keluarga Orang Asli di empat perkampungan sekitar tasik, iaitu Kampung Chioh, Kampung Cheruk Bus, Kampung Tebang Baru dan Kampung Tebang Lama. Setiap keluarga menerima satu pek makanan bernilai RM100 bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup serta meringankan perbelanjaan dapur mereka.
Di Kampung Tebang Baru, kemeriahan terasa apabila sukarelawan HEROES MCM menyantuni penduduk menerusi acara sukaneka dan agihan pakaian. Dalam masa yang sama, rakan strategik Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) turut turun padang mengendalikan saringan pemeriksaan kesihatan buat penduduk kampung. Suasana bertambah akrab menerusi jamuan rakyat yang membuka ruang silaturahim dan perbualan santai antara sukarelawan dan warga kampung.
Misi ini turut menghimpunkan mahasiswa U-HEROES MCM daripada UiTM Tapah, UiTM Seremban, UKM Bangi dan Universiti Malaya (UM), diiringi delegasi kepimpinan MCM yang diketuai oleh Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar dan Ahli Lembaga Pengarah MCM, Haji Arman Mustafa bersama kakitangan MCM.
Sepanjang berada di atas rumah bot, semangat kebersamaan jelas terserlah melalui aktiviti gotong-royong memasak, sesi taaruf, solat berjemaah dan tazkirah. Para sukarelawan juga diuji ketahanan diri melalui aktiviti lapangan seperti pertandingan memancing, aktiviti membina keyakinan di air, berakit serta berkayak sebagai pengisian rohani dan fizikal.
Bagi MCM, misi ini bukan sekadar penyampaian bantuan, tetapi usaha membina jambatan ukhuwah yang berpanjangan bersama masyarakat Orang Asli di keempat-empat kampung, selain menyemai semangat kesukarelawanan berterusan dalam kalangan anak muda.
Muslim Care Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sambutan hangat penduduk kampung, kemurahan hati para penyumbang, kerjasama PAPISMA, komitmen sukarelawan HEROES MCM dan U-HEROES MCM, serta dedikasi seluruh warga kerja yang menjayakan misi ini.