
16 JENIS MAKANAN UNTUK 150 MANGSA BANJIR
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 August, 2025
“Patutlah berat sangat,” kata seorang daripada 150 penerima bakul makanan sempena Program Bantuan Banjir dan Pengurusan Bencana di Tenom, Sabah pada 16 Ogos 2025.
Puan Nadibah Nari dari Kampung Baab tersenyum puas dan seakan-akan tidak percaya sumbangan diterimanya sebanyak itu. Penerima lain turut membabitkan dua lagi kampung iaitu Paal Seberang dan Kanar.
Majlis berlangsung di Sekolah Kebangsaa Kalang Kanar yang dilanda banjir sebanyak lapan kali sepanjang tahun ini dengan yang terakhir Mei lalu.
Setiap bakul makanan bernilai RM150 itu mengandungi barangan termasuk beras, garam, gula, tepung gandum, minyak masak, santan, sos cili, sos tomato, kicap, susu cair dan pekat, kordial sirap, mayonis, mi segera.
Sumbangan kepada mangsa banjir itu ditaja Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) di bawah program Iltizam dan dikendalikan Muslim Care Malaysia (MCM) dengan kerjasama Sabah Relief dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS).
Penyerahan sumbangan disempurnakan Eksekutif Kanan Stakeholder & Community EKUINAS, Asyraf Badhrul dan Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar.
Hadir sama Eksekutif Community EKUINAS, Ainaa Nabilah Abd Rahman dan Exco MCM, Tuan Asri Tuan Hussein dan Timbalan Pengerusi Sabah Relief, Ustaz Tarmizi Yahya.