15 SEKELUARGA TIDUR BERHIMPIT
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
15 July, 2023
Sudah lebih 10 tahun mereka tinggal di rumah kecil itu, daripada bersama anak-anak yang 11 orang, hingga kini sudah bertambah empat cucu.
Rumah sewa yang luasnya cuma lebih kurang 500 kaki persegi di Kampung Kundasang Lama, Kundasang, Sabah itulah syurga Jani Marsun, 61 dan isteri, Juliah Adoi, 48, bersama keluarga besar mereka.
"Memang susah tinggal di rumah kecil sedangkan keluarga kita besar. Tapi apakan daya, ini saja kemampuan saya.
"Syukur Alhamdulillah kalau tuan-tuan semua ingin membina rumah baru untuk kami," kata Jani ketika diziarahi rombongan Muslim Care Malaysia (MCM) diketuai Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar pada 12 Julai 2023.
Ada cerita menarik mengenai Jani bersama enam anak perempuan dan lima anak lelakinya yang berusia 11 hingga 30 tahun dengan lapan daripada mereka masih belajar.
Sebelum ini, mereka menganut fahaman animisme. Namun, hidayah Allah menyuluh jiwa mereka untuk memeluk Islam berperingkat-peringkat, bermula dengan anak perempuan sulung pada 2015 dan tiga adiknya sehingga 2018.
Akhirnya, Jani dan Juliah turut kembali kepada fitrah apabila memeluk Islam pada Disember tahun lalu bersama-sama semua anak yang lain.
Apa yang membanggakan, dua daripada anak mereka kini melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan agama Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kelantan.
Mengulas mengenai usaha membina rumah baru untuk memberi keselesaan kepada Jani dan keluarganya, Ahmad Safuan berkata, insya-Allah MCM akan mengambil tanggungjawab itu.
"Kami akan menjadikannya satu daripada projek di bawah program Home2Live MCM. Namun, ada beberapa urusan dokumentasi yang perlu diselesaikan terlebih dulu," katanya.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan
Tepat pada sasaran
Tepat pada waktunya.
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve