15 HARI PESAKIT STROKE TERLANTAR ATAS MEJA SEKOLAH (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
15 December, 2025
Dua wanita warga emas yang menghidap penyakit angin ahmar atau stroke antara mangsa banjir lumpur luar biasa di Bireuen, Aceh yang menerima sumbangan daripada Muslim Care Malaysia (MCM).
Selepas rumah masing-masing di Kampung Raya Tumbo dipenuhi lumpur lebih satu meter dan rosak akibat banjir pada 26 November lalu, mereka bersama hampir 20 keluarga lain, menumpang di sebuah sekolah agama berdekatan hingga kini.
Seramai 14 peserta misi Bantuan Banjir Aceh MCM diketuai Bendahari Agung, Ustaz Ahmad Shukri Ismail menghabiskan masa lebih satu jam di kampung itu pada 11 Disember 2025 untuk menyerahkan 70 daripada 600 pek sumbangan kepada mangsa banjir dan melihat kesan banjir.
Bantuan pek makanan itu mengandungi beras, gula, minyak masak dan biskut, kain pelekat dan telekung serta wang tunai 150,000 Rupiah setiap keluarga.
Seorang mangsa banjir, Munza berusia 34 tahun berkata dia kini buntu dan tidak tahu adakah dia dan ibunya mampu kembali kepada kehidupan seperti sebelum ini.
Menurutnya, dia tidak boleh mencuci rumah seperti dilakukan orang lain kerana perlu menjaga ibu yang terlantar akibat penyakit stroke.
“Orang lain pulang mencuci rumah dan kembali ke pusat pemindahan ini untuk tidur sebab lumpur amat tebal dan proses mencuci belum selesai hingga sekarang.
“Jadi saya tak tahu bila saya boleh pulang ke rumah. Sudah 15 hari ibu saya terlantar di atas meja sekolah yang dijadikan katil” katanya yang tinggal bersama ibunya manakala abangnya bekerja di Jakarta.
Selain ibu Munza yang berusia 60 tahun, ada seoranc lagi wanita menghidap stroke berlindung di sekolah itu dan turut terlantar di atas meja sekolah yang dijadikan katil.