13 TAHUN JADI MUSUH DALAM SELIMUT (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2025

Tiga belas tahun menjadi ‘musuh dalam selimut’ di dalam pasukan polis di zaman pemerintahan Presiden Bashar al-Assad satu tugas yang amat sukar dan hanya nyawa menjadi galang ganti.

Namun, ia nekad dilakukan oleh bekas ketua polis satu daerah di Hama, utara Syria, Mahmud al-Mahmod demi jihadnya untuk agama Islam.

Sepanjang tempoh 13 tahun sejak 2012, Mahmud telah ‘menyelamatkan’ antara 100 hingga 150 anggota tentera Syria yang berfahaman ahli sunnah wal jamaah, untuk lari daripada pasukan dan berpaling tadah.

“Isteri saya sendiri pun tak tahu saya buat kerja ini. Saya tahu risikonya amat tinggi. Kalau kerajaan (Bashar) tahu apa saya buat, tiada hukuman lain untuk saya melainkan mesti dibunuh.

“Tapi demi agama dan tak sanggup melihat orang Islam dibunuh sewenang-wenang, saya nekad membuat kerja ini,” katanya.

Kini, selepas Bashar dijatuhkan oleh kebangkitan rakyat pada 8 Disember tahun lalu, hidup Mahmud menjadi tenang dan tidak lagi bermimpi ditangkap serta dibunuh seperti yang sering dialaminya sebelum ini.

Mahmud yang berusia 35 tahun dan bapa kepada dua anak ditemui dan ditemu bual secara eksklusif oleh wartawan Harian Metro dan TV Alhijrah yang mengikuti misi bantuan Malaysia Aid 2 Syria di rumahnya di Hama pada 24 Januari 2025.

Misi MalaysiaAid2Syria yang membabitkan 28 peserta mengambil masa 12 hari bermula 20 Januari 2025 dengan program sumbangan pek makanan, bantuan pakaian musim sejuk dan pemeriksaan kesihatan di Damsyik, Aleppo, Hama dan Homs.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia