11 TOKOH DILANTIK PENASIHAT DAN DUTA MCM

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
24 December, 2024

Penggerak Muslim Care Malaysia (MCM) membuat persiapan awal dalam menghadapi cabaran mendatang melalui sesi “retreat” pengukuhan hala tuju tahun 2025.

Mengangkat tajuk “Redefining Relevance” program itu berlangsung selama dua hari satu malam di Hotel Tamu, Kuala Lumpur.

Selain membabitkan Exco dan kakitangan MCM seramai 22 orang, ia menjadi lebih bermakna apabila buat pertama kali turut dihadiri 10 penasihat dan duta MCM.

Mereka ialah mantan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Mohamad Zulkifli Albakri; mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai; Pengarah Urusan Zikay Group yang juga pemilik Hotel Tamu, Datuk Mohd Khay Ibrahim dan pakar “counter terrorism” Prof Dr Mohd Mizan Aslam Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Seterusnya, pendakwah Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofri; Dr Aminuraasyid Yatiban (pensyarah Universiti Utara Malaysia); Ustaz Dr Azahar Yaakob (Pengerusi Tahfiz Madinatul Hufaz); Dr Mohamad Sharis Abdul Karim (bekas jurutera dan ahli perniagaan) serta Puan Natipah Abu (Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia).

Seorang lagi individu yang memainkan peranan penting sebagai penasihat MCM ialah Tuan Haji Mohd Razali Moksim selaku pakar perunding korporat dan perancangan strategik yang turut bertindak sebagai moderator program.

Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan mengucapkan terima kasih kepada majlis penasihat dan duta atas kesudian mereka memberi khidmat secara sukarela.

“Mudah-mudahan Allah SWT memberkati kehidupan mereka dan keluarga mereka atas khidmat nasihat yang mereka curahkan kepada MCM

“Terima kasih juga kepada barisan Exco dan kakitangan MCM atas komitmen tinggi yang diberikan selama ini,” katanya.

Di penghujung program, Haji Zulkifli turut menyerahkan watikah pelantikan kepada 10 penasihat dan duta MCM terbabit.

Seorang lagi yang turut dilantik duta MCM ialah pendakwah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa, namun tidak dapat hadir di majlis berkenaan.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia